Semerah Padi

Semerah Padi
Pengarah
  • P. Ramlee
  • S. Hassan Sahab (pembantu pengarah)
  • S. Sudarmaji (pembantu pengarah)
PenulisP. Ramlee
Lakon layarP. Ramlee
Cerita olehOmar Rojik
Dihasilkan olehRun Run Shaw
Dibintangi
  • Nordin Ahmad
  • Saadiah
  • P. Ramlee
  • Daeng Idris
  • Musalmah
  • Salleh Kamil
Sinematografi
  • C. Ramachandran
  • S. Jumari
Disunting oleh
  • H. R. Narayana
  • K. K. Raman
Muzik olehP. Ramlee
Syarikat
penerbitan
Malay Film Productions
Diedarkan olehShaw Brothers
Tarikh tayangan
  • 14 Julai 1956 (1956-07-14)
Masa tayangan
1 jam 40 minit
NegaraMalaya
BahasaMelayu

Semerah Padi merupakan sebuah filem hitam putih Melayu yang diterbitkan di Tanah Melayu pada 14 Julai 1956. Selaku filem arahan P. Ramlee, filem kedua arahannya, filem ini mengetengahkan hidup kemasyarakatan dan pentadbiran sebuah kampung bernama Semerah Padi berdasarkan hukum Islam berdasarkan Al-Quran melalui penceritaannya, dengan berkonsepkan kehidupan masyarakat Melayu tradisional serta pemahaman agama yang tinggi.

Sinopsis

Dua sahabat akrab, Aduka (P. Ramlee) dan Taruna (Nordin Ahmad) ditugaskan mentadbir kampung Semerah Padi berpandukan aspek-aspek keislaman. Dara (Saadiah), anak ketua kampung (Daeng Idris) mempunyai hubungan cinta dengan Aduka tetapi ditunangkan kepada Taruna. Dara merahsiakan hubungan mereka supaya tidak derhaka kepada ayahnya, dan kepada Aduka, supaya tidak menyakiti sahabat akrabnya.

Pada malam hari keramaian, penduduk kampung digemparkan dengan kematian Kachiwa (Omar Suwita). Atas arahan Tok Penghulu demi keamanan kampung, Aduka dan Taruna berjaya menangkap Jejaka (A. Rahim) dan Galak (Normahdiah), suami Kachiwa, kerana berzina, dengan Jejaka sebenarnya telah membunuh Kachiwa. Mereka berdua didapati bersalah dan dihukum sulah sebelum subuh menjelang tiba. Peristiwa ini telah disaksikan oleh salah seorang orang suruhan Borek (Salleh Kamil). Borek mula memasang niat membalas dendam ke atas Semerah Padi di atas kematian adiknya, Jejaka.

Percubaan Borek dan kuncu-kuncunya berjaya menghuru-harakan kampung Semerah Padi, dengan banyak jiwa manusia terkorban dan rumah-rumah dibakar. Aduka, Taruna dan orang-orang kampung bekerjasama untuk melawan serangan musuh. Akhirnya, empat orang kuncu Borek, (Kemat Hassan, Shariff Dol, Muhammad Hamid dan Nyak Osman) telah ditangkap dan dihukum bunuh sebelum subuh menjelang tiba.

Kemudian, negeri pula dilanda lanun, dan Taruna serta 10 orang pahlawan Semerah Padi dikerah oleh ketua kampung untuk berkhidmat dengan baginda Sultan. Aduka pula ditugaskan untuk menjaga keamanan kampung Semerah Padi. Setelah satu purnama berlalu, Semerah Padi sekali lagi diserang oleh Borek, dan dia berjaya menculik Dara. Aduka pergi menyelamatkannya, dan Borek berjaya dibunuh.

Dara tetap memujuk rayu Aduka, tetapi Aduka tetap tidak mempedulikannya. Lama-kelamaan, Aduka dan Dara terlanjur berzina. Keesokkan harinya, Taruna dan rakan rakannya telah kembali ke Semerah Padi dan dianugerahkan sebidang tanah setiap seorang untuk bercucuk tanam. Aduka telah mengaku kesalahannya di hadapan Taruna dan kedua-dua orang tuanya. Taruna sungguh kecewa, dan mengarahkan Aduka agar meninggalkan Semerah Padi pada keesokkan harinya.

Taruna berjumpa Tok Penghulu untuk memcepatkan nikah antara Dara dengan Aduka. Keluarga Taruna pula memutuskan tali pertunangan antara Taruna dan Dara. Tok Penghulu dalam kebingungan, dan Dara dan Aduka mengaku kesalahan di hadapan Tok Penghulu. Tok Penghulu sangat kecewa dan menjatuhkan hukuman sebat menggunakan rotan sebanyak 100 kali keatas tubuh belakang Aduka dan Dara mengikut perintah al-Quran. Kedua-duanya selamat selepas hukuman selesai. Taruna tidak lagi berdendam dengan Aduka, dan Aduka akhirnya bernikah dengan Dara setelah kedua-duanya kembali sihat.

Barisan pelakon

Pelakon utama

Pelakon pembantu

Pelakon tambahan

  • Ahmad Chetty sebagai Orang Kampung

Penerbitan

Semerah Padi pada asalnya merupakan karya oleh Omar Rojik dengan nama Pukau sebelum ditukar nama kepada Long Batee dan seterusnya, Semerah Padi. Nama tersebut diberi oleh P. Ramlee berdasarkan beberapa perlambangan berkaitan orang Melayu: awalan "se-" melambangkan keesaan, "merah" melambangkan keberanian, dan "padi" ialah simbol jati diri yang rapat dengan bangsa Melayu. Sebilangan babak dalam Semerah Padi direka P. Ramlee berdasarkan ilham daripada babak filem oleh pengarah Jepun, Akira Kurosawa, seperti filem ulungnya, Rashomon.

Runut

Lagu-lagu runut digubah oleh P. Ramlee dengan lirik ditulis oleh rakan sekerja utamanya, Jamil Sulong, sementara muzik iringan dihasilkan oleh Malay Film Productions. Fred Libio bertanggungjawab dalam skor muzik.

  • Semerah Padi oleh P. Ramlee & beramai-beramai
  • Makan Sireh di Semerah Padi oleh P. Ramlee
  • Sekapur Sireh Seulas Pinang oleh Saloma
  • Putus Kasih di Semerah Padi oleh Momo Latif
  • Lenggang Kangkong Baru oleh Saloma, menampilkan Hashimah Yon sebagai penari undangan

Ulasan kritis

Tema kemelayuan dan Islam dalam filem ini telah dikaji dan diberi kritikan baik oleh pelbagai pihak.[1][2][3] Sarjana seni, Anuar Nor Arai, menggelar Semerah Padi sebagai "filem Melayu paling Melayu dalam sejarah", dan mencatatkan filem ini sebagai batu loncatan dalam perfileman Melayu, khususnya di Singapura.

Lihat juga

  • Sumpah Semerah Padi — filem pada tahun 1978 dengan tema yang sama

Rujukan

  1. ^ Mohd Zaki, Nurul Ezzati Aisya; Mustaffa, Che Su; Irmawati, Noer Doddy (2014). "Visualizing Islamic law and values in Semerah Padi (1956): P. Ramlee as cinematographic auteur". Procedia - Social and Behavioral Sciences. 155: 341–347 – melalui Elsevier.
  2. ^ van der Heide, William (2001). "Semerah Padi: A proposal for a new nation". Asian Cinema (dalam bahasa Inggeris). 12: 3–13.
  3. ^ Ahmad, Mahyuddin Ahmad; Yuen, Beng Lee (2015). "Negotiating class, ethnicity and modernity: the 'Malaynisation' of P. Ramlee and his films". Asian Journal of Communication (dalam bahasa Inggeris). 25 (4): 408–421.

Bibliografi

  • Razali, Hidir Ali (2024). "Semerah Padi". P. Ramlee: Tiada Yang Kedua. Kuala Lumpur. m/s. 91–96. ISBN 9789672437871.

Pautan luar

  • l
  • b
  • s
1940-an
1950-an
1960-an
1970-an